LATAR BELAKANG
SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Air Baruk, Jasin terletak kira-kira 30 km dari bandar Melaka dan kira-kira 1 km dari Pekan Jasin. Sekolah ini terletak bersebelahan dengan sekolah Menengah Datuk Bendahara dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jasin. Jalan masuk sekolah ini bertentangan dengan Pejabat RISDA, Jasin dan Mahkamah Jasin.

 

Nama asal sekolah ini ialah Government English School Jasin iaitu sekolah bantuan penuh kerajaan. Kerja pembinaannya bermula sejak tahun 1952 tetapi sekolah ini mula digunakan pada 12.01.1953.

 

Sekolah ini ditubuhkan dengan desakan masyarakat setempat tetapi tidak tercatat siapakah pengasas sekolah ini. Pembinaan sekolah ini ialah untuk memberi peluang lebih ramai kanak-kanak dari sekitar Jasin ini dapat bersekolah dalam aliran Inggeris.

 

Sebelum itu, mereka yang bersekolah aliran Inggeris akan berulang alik ke Bandar Melaka. Bilangannya pun sangat kecil. Sekolah ini mempunyai keluasan 6 ekar. 0rd. 35pl. Bangunan asal sekolah ini ialah sebuah bangunan batu (kekal) beratap genting, mengandungi empat bilik darjah, bilik pejabat dan sebuah setor.

 

Pada mulanya sekolah ini ditubuhkan, cuma 5 orang guru sahaja menjalankan tugas iaitu seorang guru besar dan 4 orang guru penolong. Guru Besar yang pertama ialah En. R. Sathasivam. Jumlah murid pertama ialah 142 orang terdiri dari berbilang kaum yang datang dari sekitar kawasan Jasin dan sebahagian kecil dari Merlimau.

 

Majlis perasmian sekolah ini telah disempurnakan pada 04.02.1053 dan telah dilakukan oleh En. G.E.C Wisdom. Residen Commissioner Melaka ketika itu.

 

Oleh kerana sekolah ini adalah hasil desakan masyarakat maka tentunya sekolah ini menjadi tumpuan ibu bapa untuk menghantar anak mereka belajar di sekolah ini. Dengan itu, petambahan murid dari tahun ke tahun amat ketara sekali. Pertambahan bilangan murid mendorong kepada pertambahan bangunan.

Tahun 1953 dibina 4 buah bilik kelas

Tahun 1954 dibina 4 buah lagi bilik kelas

Tahun 1960 dibina 4 buah lagi bilik kelas

Tahun 1967 dibina 2 bilik kelas

Tahun 1967 dibina tempat basikal dan sebuah kantin.

 

Ini menjadikan sekolah ini mempunyai 3 blok bangunan dengan 18 bilik darjah dan keramaian muridnya ialah 1376 orang.

 

Pada tahun 1971, Jabatan Pendidikan Melaka telah memberi kebenaran untuk memecahkan sekolah ini kepada dua sessi iaitu jasin English School (1) dan Jasin English School (2). Kedua-dua sekolah ini menggunakan bangunan yang sama tetapi guru-guru yang berasingan dan bergilir-gilir belajar dengan 6 bulan pagi dan 6 bulan petang.

Mulai 01.01.1976, nama kedua-dua sekolah ini telah ditukarkan :-

Jasin English School (1) ditukar nama Sekolah Rendah Kebangsaan Air Baruk.

Jasin English School (2) ditukar nama Sekolah Rendah Kebangsaan Paya Batu.

 

Nota:

Sekolah Randah Kebangsaan Paya Batu akhirnya bertukar nama kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Lanang iaitu selepas berpindah ke Kampung Kelubi, Jasin.

SEKOLAH KEBANGSAAN AIR BARUK, JASIN, MELAKA

 

TERIMA KASIH

 

 [aluan][sejarah][motto][organisasi][staf][upsr]